Saya memang selalu menghadapi masalah angin dalam perut. Memang sangat menggangu emosi sy la..huhu..Mane x nye..bangun je dari tido, terus kembung perut..kadang-kadang teruk..kadang2 biase je...selalu nya mmg pagi2 kene sapu minyak angin dulu kt perut...hehe...sian kan? So, sy pun ade wat research sket2 tentang masalah angin ni..
Masalah angin bagi kebanyakan individu mungkin tidak menjadi satu masalah kesihatan yang luar biasa, berlainan keadaan individu lain yang sentiasa bimbang dan risau. Ada kalanya kebimbangan ini menyebabkan seseorang berasa tidak selesa atau malu terutamanya apabila berada di majlis-majlis tertentu kerana ia mengganggu aktiviti seharian. Macam hari tu, sy nk pegi dinner yg dianjurkan oleh pihak universiti. so, untuk lunch, sy mkn sket je..hm, mlm tu, siap cantik2, last2 perut masuk angin...Tuhan je tahu...mmg xleh nk masuk mknn2 tu...rugi je.. :(
Kemungkinan gejala yang dialami antara seorang individu dengan individu serupa, tetapi punca sebenar masalah itu terjadi adalah berbeza.
Pakar Perunding Gastroenterologi, Fakulti Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Prof. Madya Dr. Aminuddin Ahmad menjelaskan, dalam keadaan normal gas atau angin sememangnya terdapat dalam saluran gastrousus seperti esofagus, perut, usus kecil dan usus besar.
Beliau memberitahu, kebanyakan individu menghasilkan antara satu hingga tiga pain angin sehari dan mengeluarkannya semula dengan anggaran 14 kali dalam sehari.
Menurutnya, terdapat bakteria dalam usus yang membantu menghasil dan mengurangkan angin.
"Hubungan rapat antara dua kumpulan bakteria inilah yang menentukan jumlah angin yang terdapat
dalam saluran gastrousus seseorang individu,'' katanya. Cara bakteria ini mengurangkan gas ialah dengan meresapkan gas hidrogen di dalam usus.
Beliau memberitahu, angin dalam perut yang dihidapi kebanyakan individu berpunca daripada dua sumber utama iaitu:
* Udara yang ditelan iaitu apabila seseorang dalam keadaan tertekan atau stress akan lebih kerap menelan udara tanpa disedari.
* Proses penghancuran makanan oleh bakteria di dalam usus besar pada makanan yang tidak dihadam. Gas dihasilkan terutamanya dari seperti karbon dioksida, oksigen, nitrogen dan ada kalanya methane.
AEROFAGIA (menelan udara)
Aerofagia atau menelan udara merupakan punca utama bagi masalah angin berada dalam perut.
Semasa makan dan minum, setiap individu pasti menelan sedikit udara.
Selain itu tabiat makan atau minum dengan cepat, mengunyah gula-gula getah, merokok dan gigi palsu yang onggar boleh menyebabkan seseorang menelan lebih banyak udara.
Bagaimanapun kebanyakan individu mengeluarkan udara yang terdapat dalam perut ini melalui sendawa (burping) dan belching. Sebahagian besar daripada udara yang ditelan mengandungi oksigen, nitrogen dan karbon dioksida.
Sebahagian gas yang ditelan ini bergerak ke usus kecil dan sebahagiannya akan diserap, manakala setengahnya pula bergerak ke usus besar dan dikeluarkan melalui rectum sebagai kentut.
Penghancuran Makanan Oleh Bakteria
Sesetengah karbohidrat seperti gula, kanji dan serat dalam usus kecil tidak dapat menyerap atau menghadamnya kerana kekurangan atau tiada enzim tertentu.
Makanan yang tidak dihadam ini bergerak dari usus kecil masuk ke dalam usus besar di mana bakteria akan menghancurkan makanan tersebut. Makanan-makanan ini akan mengeluarkan gas hidrogen, karbon dioksida disamping menghasilkan gas methane. Bagaimanapun kesemua gas ini akan dikeluarkan melalui rektum.
Gejala
Walaupun hanya sebahagian individu yang mengalami masalah ini, penyakit angin gejala gas yang kerap dialami ialah dalam bentuk:
1. Sendawa
2. Kentut
3. Kembung perut atau abdomen
4. Sakit abdomen (perut)
Sendawa
Apabila perut penuh dengan makanan, gas akan dikeluarkan melalui sendawa yang kadangkala berlaku semasa atau selepas makan.
Bagaimanapun mereka yang kerap sendawa biasanya banyak menelan udara dan mengeluarkannya sebelum ia sempat masuk ke dalam perut.
Kebanyakan individu yang sendawa biasanya mengalami masalah saluran gastrousus bahagian atas seperti ulser peptik, penyakit esofagitis dan gastritis.
Dua sindrom kronik yang jarang berlaku, tetapi berkaitan dengan sendawa kronik ialah :
* Sindrom meganblas
Keadaan ini menyebabkan gejala sendawa yang kronik kerana terlalu banyak menelan udara. Ini kerana tabiat makan yang banyak menyebabkan terhasilnya gelembung udara.
Kesannya seseorang akan berasa kembung dan rasa penuh pada perut serta sukar untuk ber-nafas.
* Sindrom kembung angin
Keadaan ini boleh berlaku selepas pembedahan penyakit esofagitis refluks. Pembedahan yang dilaku menyebabkan injap sehala berlaku di antara perut dan esofagus. Ini menyebabkan angin memasuki perut, tetapi menghalang sendawa yang normal dan rasa ingin muntah.
Kentut
Gejala yang paling kerap berlaku ialah pengeluaran angin yang terlalu banyak melalui dubur. Pengeluaran angin yang terlalu banyak ini disebabkan karbohidrat tidak dapat diserap atau aktiviti bakteria di kolon.
Bagaimanapun pengeluaran angin melalui dubur berlaku antara 14 hingga 23 kali sehari masih dianggap normal.
Kembung Perut
Ramai beranggapan kembung perut disebabkan terlalu banyak angin di dalam perut. Sebaliknya mereka yang mengalami gejala ini biasanya mempunyai kandungan dan penyebaran angin yang normal.
Kebanyakan pakar perubatan mempercayai, kembung perut biasanya disebabkan gangguan perjalanan usus yang dikenali sebagai sindrom rengsa usus (irritable bowel syndrome).
Gangguan perjalanan usus dicirikan dengan keadaan di mana pergerakan dan pengecutan otot usus terganggu. Sehubungan itu, kehadiran angin dalam usus menyebabkan ia menjadi terlalu sensitif kerana keadaan ini sering disalahtafsirkan sebagai kembung perut.
Selain itu keadaan atau penyakit yang menyebabkan penyumbatan usus seperti penyakit Crohn's atau kanser kolon boleh menyebabkan kembung pada abdomen.
Pesakit yang terlalu banyak menjalani pembedahan, parut pada tisu dalam abdomen boleh menimbulkan gejala kembung dan kesakitan. Mereka yang makan makanan yang mengandungi banyak lemak akan melambatkan proses pengosongan perut dan menyebabkan perut rasa kembung. Bagaimanapun, ketidakselesaan yang dialami oleh pesakit tidak semestinya kerana terlalu banyak angin.
Sakit Abdomen (Perut)
Pesakit mengalami rasa ketidakselesaan apabila angin berkumpul dalam usus. Pengumpulan angin pada bahagian kiri abdomen menyerupai serangan sakit jantung.
Sebaliknya, sekiranya angin berkumpul pada bahagian kanan, kesakitan yang dirasai seolah-olah penyakit batu hempedu atau apendisitis.
RAWATAN
* Menukar jenis pemakanan
* Makan ubat
* Kurangkan menelan udara
a. Menukar jenis makanan
Kandungan gas yang dihasilkan daripada makanan berbeza antara seorang dengan seorang yang lain. Pesakit perlu memastikan jenis makanan khusus yang menyebabkan berlakunya masalah angin ini melalui pengalaman yang dilalui. Sekiranya makanan tersebut telah dapat dikenalpasti, hindarkan makanan tersebut.
b. Ubat-ubatan
Ubat-ubatan seperti antasids, simethicone dan activated charcoal yang boleh didapati di farmasi-farmasi dapat membantu mengurangkan masalah angin ini. Selain itu, enzim penghadaman seperti laktase membantu menghadamkan karbohidrat di samping membolehkan seseorang makan makanan yang biasanya menghasilkan angin.
c. Kurangkan menelan udara
Individu yang mengalami masalah sendawa yang kronik dinasihatkan supaya kurang mengambil gula-gula getah dan gula-gula. Anda dinasihatkan supaya mengunyah makanan perlahan-lahan dan tidak banyak bercakap semasa
makan. Sekiranya pesakit memakai gigi palsu, dinasihatkan supaya berjumpa doctor gigi untuk memastikan dentur tersebut sesuai dipakai.
MAKANAN YANG MENGHASILKAN ANGIN
Makanan yang mengandungi gula raffinose, fruktos, laktos dan sorbitol menghasilkan banyak angin.
* Raffinose terdapat pada makanan seperti kacang yang mengandungi banyak gula kompleks, manakala bunga kubis (cauliflower), kubis brussel (brussels sprouts), asparagus, brokoli dan kubis.
* Laktos ialah gula semulajadi yang terdapat pada susu dan makanan yang mengandungi susu seperti keju dan aiskrim.
* Fruktos banyak terdapat pada bawang, buah pir dan gandum. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis (sweetener) dalam minuman ringan dan jus buah-buahan.
* Sorbitol diperolehi secara semulajadi daripada buah-buahan termasuk epal, pir, pic dan prun. Ia juga banyak digunakan sebagai pemanis dalam makanan untuk diet, gula-gula dan gula getah.
* Kanji kebanyakannya didapati pada kentang, jagung, gandum di mana makanan ini dihancurkan di dalam usus besar. Beras merupakan satu-satunya makanan berkanji yang tidak menghasilkan angin.
* Seserat (fiber) yang mudah larut dalam air dan bertukar menjadi tekstur menyerupai gel di dalam usus. Ia terdapat dalam kacang, oat, bran, kacang panggang dan kebanyakan buah-buahan. Seserat larut ini tidak dihancurkan sehinggalah ia sampai ke usus besar di mana proses penghadaman bermula dan angin dikeluarkan. Manakala seserat tidak larut melalui usus tanpa sebarang perubahan dan tidak banyak menghasilkan angin.
- Oleh Najibah Hassan
No comments:
Post a Comment